Pageviews

04 Oktober 2011

Pengurus dan Pinggan Makan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,


Pengurus dan pinggan makan.

Suatu hari, seorang Profesor menghadiri satu majlis tidak rasmi di sebuah hotel.  Kehadirannya ke majlis itu menggunakan peruntukan sendiri dan harus mengambil cuti kerana syarikatnya tidak menyediakan peruntukan kepada stafnya untuk ke program seumpama itu. 

Menurut Profesor itu, nama program yang dianjurkan amat menarik perhatiannya.  Dengan hasrat ingin belajar dan menambah ilmu, berbekalkan pengetahuan dan ilmu di dada beliau melaporkan diri untuk mengikuti program berkenaan yang dianjurkan oleh satu syarikat konsultan di sebuah hotel terkemuka.

Pada pandangannya program itu pasti mendapat sambutan ramai yang berjaya memberi input berguna kepada pesertanya.

Sejurus melaporkan diri, semasa makan malam profesor memerhatikan gelagat fasilitator kursus.  Selesai makan, profesor merapati sekumpulan fasilitator itu.  Pandangannya singgah di pinggan makan mereka dan terus mengamati wajah fasilitator itu satu persatu.  Mereka selamba sahaja tanpa merasa curiga, sambil tersenyum terus meninggalkan pinggan makan yang masih banyak bersisa.

Di satu sudut, Profesor mendekati mereka dan bertanya "Mengapa tidak dihabiskan makanan tadi?  Saya mengganggu ke?" 

Salah seorang dari mereka menjawab, "Kami dah biasa makan makanan macam ni, lagipun bukan kami yang bayar syarikat yang bayar kepada pihak hotel ni".   

Seorang lagi menyambung "Kalau setakat makanan macam ni, apalah sangat... bukan sedap pun".

Profesor itu dengan rasa yang sungguh kesal menjawab semula "Bukankah harga makanan itu dibayar oleh kami, peserta kursus ini.  Kalau tuan-tuan tidak mampu menghabiskan makanan dalam pinggan tu janganlah longgokkan dalam pinggan tu banyak-banyak, ambillah sekadar mampu sahaja".

Mereka saling berpandangan dan terus berlalu dari situ.  Profesor tadi terus membatalkan sahaja penyertaannya d dalam kursus itu.

Moral dan Etika cerita:
Pengurus yang berjaya pada pandangan kasar adalah orang yang mampu menguruskan pekerja dan aset organisasinya dengan baik.  Pengurus juga dilihat sebagai orang yang mampu menjadikan matlamat organisasinya tercapai.

Tetapi,  bila dilihat dari satu sudut yang lain atau dari pandangan mata halus... pengurus yang berjaya adalah pengurus yang mampu menghabiskan makanannya ... tidak bersisa.  Hairan kan?  Pandangannya begini, sebagai individu pengurus itu mempunyai pandangannya sendiri berkenaan keupayaannya untuk menghabiskan makanannya.  Andaikata makanan itu dilihat sebagai tidak enak, tidak perlulah ambil banyak, atau tak perlu ambil langsung.  Sekiranya makanan itu nampak sungguh menyelerakan, tidak perlu juga ambil banyak-banyak kerana kita belum lagi merasa makanan itu adakah ia sesuai dengan selera kita.

Pandangan ini diperolehi dari Profesor yang tersebut di atas dan sudah agak lama ingin dikongsikan dengan ramai orang.  Biarpun tak ramai yang tahu atau mungkin juga ramai yang tahu tetapi aye yang baru tahu... perkongsian ini diharap dapat memberi pengetahuan baru.

*Sesekali perhatikan pinggan kita, adakah habis makanan yang kita ambil, atau bersepah.  Jika habis, kita ada peluang untuk menjadi Pengurus yang berjaya.  Jika tidak, belajarlah dari sekarang untuk berfikir tentang selera dan nafsu makan kita...

Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda tanggungjawab anda. Komen dan pandangan anda amatlah dihargai. Terima kasih atas pandangan yang diberikan.