Pageviews

24 Jun 2010

Ada Apa Dengan Buruk Sangka? Mengapa Buruk Sangka?

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
setelah beberapa hari tak keluarkan artikel terbaru... hari ini nak buat cerita sikit tentang apa yang ada dengan sangkaan kita... Kita sering kali bersangka buruk hanya pada kali pertama kita bersua dengan sesuatu tanpa memikirkan apa disebaliknya yang kita lihat atau kita dengar... Namun untuk itu kita harus segera sedar dan memikirkan mengapa itu semua terjadi...Untuk itu ingin aye kongsi kan artikel yang aye terima dari seorang sahabat mengenai sangka buruk... semoga dapat dijadikan rujukan dan ikitibar...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Sangka Buruk

Persepsi adalah sangkaan atau andaian. Fenomena membuat sangkaan terhadap sesuatu perkara atau keadaan biasa berlaku dalam masyarakat sejak dahulu lagi. Andaian-andaian dibuat kadang-kadang berdasarkan pengalaman dan pengetahuan seseorang yang belum tentu kepastian dan kebenarannya melainkan dengan bukti dan hujah yang kukuh dan sah.
Contohnya teori atau sangkaan dan andaian Charles Darwin tentang asal usul kejadian manusia. Kini andaiannya terhadap teori itu telah banyak disanggah oleh ilmuan hari ini dengan bukti dan hujjah masing-masing. Banyak lagi andaian-andaian dibuat seperti kiamat berlaku pada tahun 2012 dan lain-lain. Mungkin andaian-andaian ini ada kaitan dengan kajian saintifik, perkiraan matematikal dan sebagainya, namun ia tetap andaian yang belum tentu kepastiannya.

Dalam kehidupan bermasyarakat, Islam memberikan garis panduannya agar perjalanan hidup sentiasa harmoni dan sejahtera. Situasi yang terlalu banyak sangkaan dan andaian akan membawa kepada suasana yang huru hara dan tidak rasional. Segalanya mestilah dibuktikan sama ada melalui hujjah rasional, penyelidikan saintifik mahupun hujjah autentik.

Firman Allah SWT. , maksudnya:
Wahai orang yang beriman, jika sekiranya ada seorang fasik membawa suatu berita kepada kamu, maka periksalah dengan teliti (hendaklah kamu menyelidikinya terlebih dahulu), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu.
(Al-Hujurat : 6)

Firman Allah SWT., bermaksud :
Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.....
(Al-Hujurat : 12)

Hukum prasangka atau sangka buruk adalah haram dengan maksud sangkaan buruk itu ditujukan kepada seseorang walaupun ia hanya berlaku di dalam hati. Oleh itu jauhilah sangkaan buruk tersebut.

Menurut Imam al-Ghazali, jalan keluar untuk menghindarkan diri daripada perilaku ini ialah menjauhkan diri daripada terlalu mengikut kehendak hati atau tidak merealisasikan sangkaan buruk di hati dengan ucapan mahupun perbuatan. Segeralah beristighfar moga sangkaan di hati itu tidak berlanjutan dengan perkataan dan perbuatan.

Seandainya telah ternyata di hadapan mata sesuatu sangkaan buruk dengan hujjah dan bukti, maka sebaik-baiknya hendaklah segera menasihatkannya secara berhikmah dan jagalah diri agar tidak tertipu dengan hasutan syaitan sehingga menjadikannya sebagai bahan umpatan terhadap orang berkenaan atau mencanangkan keburukan tersebut kepada orang lain.

Biasanya sangkaan buruk ini akan membawa kepada satu lagi perilaku keji yang juga dilarang oleh Islam iaitu mengintip atau mencari kesalahan serta keburukan yang disangkakan tadi, agar ia menjadi benar-benar terjadi. Ternyata bahawa sifat menyangka buruk atau prasangka akan membawa kepada sifat buruk lain seperti mengumpat dan mengintip (sengaja mencari kesalahan orang lain).

Sama-samalah kita berdoa moga kita semua terhindar daripada sifat buruk tersebut dan hidup diberkati Allah SWT.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh : Abd. Nasir Hj. Musa, CITU UiTM Perak.
~~~~~~~~~~~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda tanggungjawab anda. Komen dan pandangan anda amatlah dihargai. Terima kasih atas pandangan yang diberikan.